Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disaran supaya melupuskan akaun laman sosial yang memuat naik kandungan berita palsu sebagai langkah membendung penularan aktiviti tidak sihat itu.

Perkara itu dibangkitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang memberitahu, langkah itu perlu dibuat bagi mengelakkan alasan ia disebarkan secara tidak sengaja oleh pelayar internet.

“Ini dapat mengurangkan jumlah penyebaran berita palsu di laman media sosial. Kempen kesedaran mengenai penyebaran berita palsu juga harus dipergiatkan melalui literasi digital di laman sosial kerana masyarakat gemar mendapatkan info dan maklumat hanya di hujung jari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu Dominic berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM harus mempertimbangkan langkah lebih efektif seperti tawaran ganjaran kepada pelapor yang membuat laporan tentang berita palsu.

Ujarnya, inisiatif berkenaan mampu membantu PDRM dan SKMM menjadi lebih efisyen dalam melakukan pemantauan dan siasatan serta ia dapat membantu usaha kerajaan membendung penularan berita palsu daripada terus berleluasa.

Terdahulu, Dominic menyatakan penyebaran berita palsu di laman media sosial semakin menjadi-jadi dan tidak diwartakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini.

Justeru katanya, PDRM dan SKMM harus memperkasakan pemantauan mengenai perkara tersebut secara sistematik.

Beliau merujuk kepada laporan PDRM baru-baru ini apabila mengatakan sebanyak 220 kes siasatan berita palsu telah dibuka dimana 152 lagi masih dalam siasatan, manakala 24 telah dituduh dalam mahkamah dan 13 telah mengaku bersalah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Okay! MalaysiaKini no 1 perlu di hapus dulu!
    2nd,Sarawak Report!
    Ini dua2 portal kaki fitnah sebar berita palsu

Comments are closed.