Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- “Terima kasih Lara di atas kiriman surat dan rantai tangan itu,” tulis Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah kepada Lara Khadijah McAfee.

Beliau yang terharu dengan bingkisan dan penghargaan yang diberikan itu mengucapkan terima kasih kepada kanak-kanak berusia sembilan tahun berkenaan.

Surat balasan daripada KP Kesihatan, Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah

Seperti biasa, Dr. Noor Hisham tidak mahu menerima sanjungan itu sendirian sebaliknya menyatakan usaha yang dijalankan sepanjang perang Covid-19 ini adalah usaha berpasukan.

Malah ujarnya, beliau bersyukur kerana dikurniakan sebuah pasukan yang hebat untuk membantu negara menghadapi pandemik ini.

Lelaki yang disenaraikan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menguruskan Covid-19 itu, turut memberi nasihat kepada Lara Khadijah untuk belajar dengan gigih supaya dapat membantu negara kelak.

Apa yang menarik, beliau menandatangani surat tersebut sebagai kawan baharu kepada Lara Khadijah.

Terdahulu, murid darjah tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu itu telah mengirimkan sepucuk surat penghargaannya kepada Dr. Noor Hisham kerana berjaya memimpin pasukan pengurusan Covid-19 negara.

Surat bertulisan tangan Lara Khadijah McAfee kepada Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Surat comel bertulisan tangan turut disertakan sekali dengan seutas rantai tangan Loom Band sebagai tanda persahabatan

Menurut Dr. Noor Hisham, rantai tangan tersebut kini dipakai oleh cucunya dan dia menyukai gelang tersebut. -MalaysiaGazette