Deretan kenderaan ketika sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Selayang Baru-Templer, Gombak. foto AFIQ RAZALI, 04 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Walaupun tindakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga lebih ketat dan tegas, namun kehadiran lebih setengah juta kenderaan di atas jalan raya seperti direkodkan semalam, amat membimbangkan.

Sehingga jam 12 tengah malam semalam, sebanyak 585,250 kenderaan dikesan melalui sekatan jalan raya dan jumlah itu lebih banyak dari sebelumnya.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika petugas kesihatan bertungkus lumus merawat pesakir positif Covid-19, yang menyaksikan ada penurunan bagi kes jangkitan, tetapi jika sikap orang ramai masih berdegil, usaha itu akan menemui kegagalan.

“Sikap degil anda ini yang menyebabkan PKP tidak akan berakhir,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, polis akan menambah Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar arahan PKP bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkatkan.

Kata beliau, semalam sahaja, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 816 SJR di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 585,250 kenderaan.

“Polis telah menangkap seramai 1,565 individu berbanding 1,057 individu hari sebelumnya kerana ingkar PKP. Ini merangkumi 1,381 individu yang direman dan 184 individu dijamin polis.

“Sebanyak 544 individu pula telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP, manakala jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 17 April semalam sebanyak 13,639 individu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast