ISLAMABAD – Penjualan peluru berpandu anti kapal oleh Amerika Syarikat (AS) kepada India adalah ‘membimbangkan’ dan akan  mewujudkan keadaan ketidakstabilan di rantau itu.

Pada minggu ini, Jabatan Negara AS memaklumkan Kongres tentang hasratnya untuk menjual peluru berpandu anti kapal yang dilancarkan dari udara, Harpon dan torpedo, Mark 54 bernilai AS$155 juta kepada India bagi meningkatkan keupayaan menangkis ‘ancaman serantau’ dan untuk meningkatkan pertahanan dalan negara.

Jurucakap Pejabat Luar Pakistan, Aisha Farooqui berkata, penjualan peluru berpandu oleh AS kepada India adalah membimbangkan.

“Penjualan sistem peluru berpandu seperti ini, di samping bantuan teknikal dan sokongan logistik ketika dunia berusaha memerangi wabak adalah sangat-sangat membimbangkan. Ini akan mewujudkan ketidakstabilan yang mana Asia Selatan sudahpun mengalami keadaan yang rapuh,” ujar beliau.

Farooqui berpendapat terdapat kemungkinan besar India melakukan satu ‘operasi palsu’ ketika dunia memberi tumpuan memerangi wabak koronavirus.

Beliau berkata, Pakistan telah menjelaskan tentang kebimbangan berhubung penjualan senjata canggih kepada India yang mana akan mewujudkan ketidakstabilan di rantau itu.

Menjawab soalan mengenai memulihkan hubungan diplomatik antara Pakistan dan India, Farooqi berkata, negaranya sentiasa mahukan hubungan baik dengan semua negara jiran.

“India perlu mewujudkan persekitaran yang membolehkan hubungan bermakna yang menjurus kepada penyelesaian pertikaian Khasmir menurut harapan penduduk Kashmir dan rosolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” tambah beliau.

Hubungan antara kedua-dua negara tegang berikutan serangan ke atas Balakot yang menyaksikan pesawat pejuang India mengebom kem latihan Jaish-e-Mohammed di Pakistan pada 26 Februari 2019 sebagai tindakan balas kepada serangan di Pulama pada 14 Februari tahun yang sama menyebabkan 40 orang pegawai Polis Simpanan Pusat mati. – Agensi