PUTRAJAYA – Kaedah pengawasan lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand bakal dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi baharu dan terkini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya akan menjemput beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa bagi melakukan proof of concept (POC) mengenai teknologi dan kepakaran mereka.
“Sekarang ini, kecenderungan kita yang namanya untuk mengawasi jalan tikus ataupun pintu masuk rasmi kita adalah dengan menggunakan teknologi semasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, hari ini.
Beliau berkata, teknologi yang akan digunakan di sempadan akan diteliti dengan baik bagi memastikan keberkesanannya berada pada tahap tinggi.
“Kita akan tengok sehingga kita betul-betul puas hati, dalam erti kata mengawal keselamatan, sempadan termasuklah keselamatan ataupun potensi ancaman melibatkan jalan tikus,” ujarnya.
Ditanya mengenai cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin Nasution berkata, pembinaan tembok akan membabitkan kos penyenggaraan yang mahal.
“Pagar ini pertama ianya mahal dan penyelenggaraannya juga mahal. Jadi, zaman berubah (ia) mungkin sesuai pada ketika itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sejumlah 281 lokasi lorong tikus dikenal pasti dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Daripada jumlah itu, 154 berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi membabitkan 128 lorong tikus.
Saifuddin Nasution dilapor berkata, berdasarkan kajian PGA berkaitan lorong tikus, persempadanan Malaysia (Kelantan) dan Thailand (Narathiwat) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 128 lorong tikus yang meliputi 46 peratus bagi keseluruhan kajian.
Selain Kelantan, pecahan lorong tikus mengikut negeri adalah lapan Perlis, diikuti Kedah (18), Selangor (12), Johor (27), Sarawak (38) dan Sabah (50). – MalaysiaGazette















