Enam penghantar makanan Foodpanda mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan melakukan rusuhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Foodpanda Malaysia mencarum RM199,958.40 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed, caruman itu melibatkan perlindungan kepada 2,544 orang penghantar.

Tambahnya, jalinan kerjasama antara Perkeso dengan Foodpanda Malaysia merupakan pendekatan progresif bagi memperluaskan jaringan keselamatan sosial dalam kalangan penghantar barangan dan makanan yang bekerja sendiri dan dalam masa sama menjadi pemangkin kepada organisasi lain untuk turut mencarum.

“Saya harap organisasi dan perusahaan lain turut mengambil langkah proaktif seperti Foodpanda Malaysia agar lebih ramai golongan yang bekerja sendiri mendapat perlindungan keselamatan sosial,” katanya menerusi kenyataan bersama Pengarah Urusan, Foodpanda Malaysia Sayantan Das.

Perkeso melalui SKSPS menyediakan perlindungan kepada orang bekerja sendiri dari 20 sektor tidak formal termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) mula dikuatkuasa sejak 1 Jun 2017 secara berperingkat bermula dsektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas.

Menurut Dr. Mohammed Azman, perlindungan yang diberikan menerusi skim ini adalah membabitkan bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja.

Antara faedah yang disediakan melalui skim ini adalah Faedah Perubatan, Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan juga Pinjaman Pendidikan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das berkata, caruman ini merupakan bukti platform perkhidmatan makanan dalam talian yang beroperasi ini prihatin terhadap kebajikan penghantar (rider) melindungi mereka 24 jam.

“Kesihatan dan keselamatan para rider kami adalah keutamaan kami.. Pada awal tahun lalu, kami melancarkan polisi insurans yang bukan sahaja melindungi rider semasa mereka bertugas malah melindungi mereka 24 jam sehari.

“Sumbangan kami kepada Perkeso adalah salah satu inisiatif kami untuk para rider. Kami sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik kepada semua rider-rider kami,” katanya.

Dianggarkan seramai 2.8 juta orang bekerja sendiri di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast