KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) yang melaksanakan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara tunai di cawangan-cawangannya melanjutkan operasi perbankan sehingga hari ini.

Pembayaran BPN secara tunai di bank itu telah dijalankan sejak Jumaat lalu bagi membantu hampir 20,000 pelanggan yang terdiri daripada penerima BPN tunai seluruh negara.

BSN juga turut menitikberatkan langkah-langkah keselamatan semasa berada di premis Cawangan BSN termasuklah dengan menegaskan penjarakan sosial sejauh 1 meter dan memakai topeng muka kepada para pelanggan selain melakukan pemantauan suhu badan sebelum memasuki cawangan bagi melakukan transaksi perbankan.

Dalam kenyataannya, BSN turut memaklumkan salah satu cawangan yang terlibat adalah Cawangan Matang BSN di Kuching, Sarawak telah menerima seramai 300 pelanggan bagi urusan BPN, Bantuan Sara Hidup (BSH) serta Sarawakku Sayang, salah satu inisiatif daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Jumlah pelanggan yang begitu ramai menyebabkan mereka perlu menunggu lama sebelum dapat membuat urusan di kaunter.

Walau bagaimanapun, persediaan awal telah dibuat dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Sukarela (RELA) serta Polis Bantuan BSN bagi mengendalikan pelanggan yang ramai dan memastikan penjarakan sosial yang berkesan.

Di samping itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membantu dengan membuat rondaan di kawasan Cawangan Matang BSN bagi memantau keadaan.

Menurut BSN, pembayaran BPN secara tunai kepada penerima-penerima yang tidak mempunyai akaun bank atau gagal kredit dilaksanakan sehingga 31 Disember 2020.

Oleh yang demikian, penerima-penerima BPN kategori ini boleh hadir ke Cawangan-Cawangan BSN yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Walau bagaimanapun penerima-penerima BPN dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu melalui laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri – http://www.hasil.gov.my atau Bantuan Sara Hidup (BSH) – https://bsh.hasil.gov.my dan Kementerian Kewangan Malaysia – https://www.treasury.gov.my sebelum hadir di mana-mana Cawangan BSN. – MalaysiaGazette