Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub mendedahkan jawatan Mufti Wilayah Persekutuan kini menjadi rebutan dan ada pihak yang sedang melobi untuk jawatan tersebut.

Katanya, beberapa kumpulan individu mula mengangkat calon-calon mereka yang didakwa layak untuk mengisi kekosongan jawatan yang telah dikosongkan itu.

“Walaupun usaha melobi jawatan itu tidak salah, namun ia adalah sesuatu yang tidak wajar kerana ini membabitkan jawatan mufti yang menjadi rujukan umat Islam sepatutnya diisi oleh mereka benar-benar layak tanpa perlu melobi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatan itu kosong setelah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 9 Mac lalu.

Justeru itu, Veteran UMNO meminta agamawan-agamawan ini supaya mereka memberhentikan perbuatan melobi dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat pilihan individu yang layak memegang jawatan.

“Veteran UMNO ingin menegaskan bahawa perlantikan ke jawatan Mufti Wilayah adalah hak Duli Yang Maha Mulia Yang Di-pertuan Agong kerana ia di bawah bidang kuasa baginda sebagai ketua agama.

“Sebarang usaha melobi untuk jawatan itu bererti mencabar kuasa baginda,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan ada beberapa nama yang dikatakan calon menggantikan Zulkifli termasuk Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dari UMNO, yang mengetuai sekumpulan graduan pengajian Islam yang amat pro-Saudi, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan pendakwah, Habib Ali Zaenal Abidin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Habib Ali Zaenal Abidin jadi Mufti WP baharu?