Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Permohonan baharu dan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan diproses dan disemak silang dengan pangkalan data agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan warga negara Malaysia, selain semakan pendapatan dengan agensi pendapatan.

Ia bagi memastikan permohonan baharu dan rayuan yang telah diterima adalah tertakluk kepada proses verifikasi bagi memastikan BPN diterima oleh mereka yang benar-benar layak.

Kementerian Kewangan berkata, ia memandang berat dakwaan terdapat warga asing yang menerima permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dengan menggunakan dokumen palsu.

Menurutnya, permohonan baharu dan rayuan BPN dibuka dari 1 hingga 30 April 2020.

Setakat ini, lebih 3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diterima.

”Buat masa ini, permohonan BPN tersebut belum lagi diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya. Keputusan akan dimaklumkan kepada pemohon pada bulan Mei 2020.

”Dengan itu, permohonan yang menggunakan dokumen palsu atau yang disenaraihitam akan ditolak dan tidak akan menerima BPN,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Kewangan mengingatkan bahawa sekiranya pemohon didapati memberikan maklumat tidak benar atau palsu, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun serta kerajaan berhak menarik balik bantuan yang telah diluluskan.

”Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BPN telah disediakan oleh kerajaan hanya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia yang layak dan kementerian kekal komited dalam memastikan semua bantuan kerajaan adalah berkesan dan membantu kumpulan sasar yang ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette