Pekerja-pekerja Hin Construction Sdn Bhd melakukan proses disinfeksi nyahkuman i Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 15 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Menyedari banduan yang tidak diterima baik oleh masyarakat mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk kembali ke lorong hitam, Hin Construction Sdn. Bhd. mengambil inisiatif untuk menawarkan peluang kedua kepada mereka.

Pengurus Pemasaran HIN Construction Sdn Bhd, Mok Hua Jye

Menurut Pengurus Pemasarannya, Mok Hua Jye, sudah lebih 10 tahun syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Parol dan Komuniti, Jabatan Penjara Malaysia dengan membuka peluang latihan dan pekerjaan kepada orang diparol.

Hin Constructions terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan antaranya pembinaan, perkhidmatan elektrik dan elektronik serta disinfeksi.

“Kami cuma buat apa yang kami mampu. Kami merasakan ada tanggung jawab yang perlu dilakukan oleh setiap masyarakat bagi memastikan banduan-banduan ini tidak kembali kepada cara hidup lama yang menyebabkan mereka dipenjara.

Pekerja-pekerja Hin Construction Sdn Bhd melakukan proses disinfeksi nyahkuman di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 15 APRIL 2020

“Di sini kami hanya mampu menyediakan peluang latihan dan pekerjaan supaya mereka dapat bersedia dari segi kemahiran, mental dan fizikal sebelum keluar kepada masyarakat.

“Diharapkan pihak lain juga dapat memainkan peranan yang serupa supaya banduan-banduan ini dapat hidup normal seperti orang lain.

“Sekiranya mereka kembali untuk berbuat jahat, masyarakat juga yang susah. Sedangkan kita sendiri kita berbuat apa-apa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Hua Jye, orang diparol diberi peluang untuk melakukan tugasan mengikut kemahiran dan minat masing-masing. Bagi yang masih belum memiliki sebarang kemahiran, mereka akan diberi latihan secukupnya.

Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju, Muhamad Hanif Sufian

Dalam pada itu, Penolong Penguasa Penjara, Pegawai Parol dan Komuniti Daerah Wangsa Maju, Muhamad Hanif Sufian berkata, Jabatan Penjara memang menyediakan satu program khas yang memboleh syarikat-syarikat untuk tampil bersama-sama dalam melatih orang diparol.

Ia adalah sebahagian daripada persiapan untuk banduan tersebut sebelum mereka dibebaskan.

“Hin Constructions memang sudah lama bekerjasama dengan kami malah mereka juga melayan orang diparol ini dengan baik. Upah yang diberikan kepada orang diparol yang bekerja dengan mereka juga adalah selari dengan gaji minimum yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Muhamad Hanif, program tersebut juga adalah untuk mengurangkan kadar banduan yang masuk balik ke dalam penjara di samping membantu mendapatkan pekerjaan atau kemahiran kepada mereka.

“Setiap orang layak menerima peluang kedua dan di sinilah kami berperanan untuk memberi peluang kepada mereka.

“Ada yang betul-betul telah insaf tetapi apabila masuk semula ke dalam masyarakat, mereka kembali kepada jalan hidup yang lama.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya lagi.-MalaysiaGazette