Anggota Bomba dan Anggota Rescue Bencana Malaysia (RBM) sedang menjalankan kerja-kerja sanitasi di Sekolah Rendah Agama Sungai Lui berikutan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An- Nabawiyyah dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi murid-murid Tahun 6 tahun ini dibatalkan.

UPSRA sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober 2020.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid dan guru-guru terjamin.

Menurutnya, pembatalan UPSRA tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid-murid kepada ilmu-ilmu diniyah kerana mereka sudah mendapat pendidikan itu sejak Tahun 1 hingga Tahun 6.

Kemenjadian murid-murid dalam pendidikan ilmu-ilmu diniyah mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.

Justeru, JAWI akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.

Tambahnya, sesi persekolahan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Integrasi Rendah Islam JAWI (SIRAJ) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia dan JAKIM.

Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan tertakluk kepada perkembangan semasa serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid-murid.

Katanya, proses diinfeksi semua SRA, SIRAJ dan KAFA telah mula dilaksanakan bagi memastikan semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan terjaga.

Apabila sesi persekolahan dibuka semula, segala aspek kebersihan dalam memastikan pengawalan penularan jangkitan akan diberi penekanan selaras arahan KPM supaya pengurusan sekolah berjalan lancar dan selamat. – MalaysiaGazette