Sebahagian murid menadah tangan berdoa sebelum menduduki peperiksaan pada hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti, Seri Kembangan, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 04 SEPTEMBER 2019.

RATA-rata anggota masyarakat terutamanya ibu bapa menyambut baik beberapa keputusan yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkaitan sistem persekolahan pada tahun ini berikutan ancaman wabak
Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antara keputusan yang menarik perhatian penulis ialah pembatalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Mengikut pengumuman, UPSR akan digantikan dengan satu kaedah penilaian yang lain yang tidak akan tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata dan ironinya penilaian memang perlu kerana selama ini keputusan UPSR dijadikan satu daripada
kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD). Dalam konteks ini penulis melihat mungkin ada hikmah di sebalik serangan wabak dan keputusan terpaksa membatalkan UPSR ini,
iaitu ini adalah peluang terbaik untuk kita melihat kemungkinan untuk memansuhkan terus peperiksaan UPSR ini dan digantikan dengan satu kaedah penilaian yang lebih holistik dan tidak terlalu berpaksikan peperiksaan.

Kita perlu akui UPSR masih terlalu menitikberatkan aspek peperikasan atau berorientasikan peperiksaan walaupun elemen kokorikulum sudah mula diberi penekanan. Pada usia 12 tahun anak-anak kita terpaksa berhadapan dengan penilaian yang dilihat sangat mustahak kerana medukung harapan ibu bapa yang
mahukan mereka masuk ke sekolah berasrama penuh. Justeru ketaksuban untuk mendapat sebanyak mungkin gred A dalam UPSR terus menghantui anak-anak dan juga ibu bapa, yang kadang kala memberikan tekanan yang hebat. Kita tidak boleh
menyalahkan ibu bapa kerana inilah sistem yang sedia ada di mana anak dianggap gagal jika mendapat keputusan yang cemerlang seperti diidamkan. Justeru sudah tiba masanya untuk kita melihat secara menyeluruh sistem pendidikan dan penilaian
di sekolah rendah di negara kita demi mencipta satu kelaziman yang baharu.

Penulis memberi penekakan kepada sekolah rendah kerana usia tujuh hingga 12 tahun adalah satu tempoh masa yang sangat penting, signifikan dan kritikal. Hal ini kerana inilah usia yang bakal membentuk karakter dan sahsiah yang akan dizahirkan
melalui sikap dan tingkah laku di masa hadapan atau pada peringkat usia yang seterusnya hingga ke dewasa. Oleh itu acuan kita pada peringkat usia ini cukup penting bagi membentuk masa depan mereka, umpama melentur buluh biarlah dari
rebungnya.

Misalnya sebagai seorang bapa yang mempunyai anak di sekolah rendah, antara harapan besar penulis ialah mahu melihat pembentukan karakter dan nilai-nilai moral berlaku di sekolah rendah, di samping aspek akademik. Fokus utama perlu diberikan
kepada aspek penerapan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, menghormati masa, bertolak ansur, berpegang teguh kepada ajaran agama, mengutamakan disiplin, memahami budaya masyarakat majmuk negara ini serta memahami kepentingan aspek jati diri, integriti dan semangat patriotisme yang tinggi.

Secara tuntasnya, inilah usia yang terbaik untuk kita membentuk mereka menjadi manusia yang cemerlang dunia dan akhirat, serta akademik dan sahsiah di samping menjadi warganegara yang bertanggungjawab, sayang dan cintakan negara.

Percayalah pengetahuan dan ilmu itu tidak akan diperolehi dalam buku teks dan dalam bilik darjah semata-mata atau boleh dinilai melalui peperiksaan seperti UPSR. Ianya perlu diterapkan melalui praktis dan pengalaman langsung yang perlu bermula
di sekolah pada usia ini melalui kaeadh penilaian dan pentaksiran yang lebih holistik.

Justeru dicadangkan kita ambil peluang ini untuk memansuhkan UPSR seterusnya digantikan dengan satu kaedah penilaian berterusan yang lebih holistik bermula seawal tahun satu hingga tahun enam merangkumi aspek akademik, kokurikulum
dan juga sahsiah. Kaedah penilaian yang akan digunapakai pada tahun ini bagi menggantikan UPSR yang dibatalkan wajar digunakan sebagai panduan untuk kita memperkenalkan kaedah penilaian yang lebih menyeluruh dan efisien seterusnya
digunakan untuk menggantikan UPSR secara tetap dan total. Penulis percaya inilah masanya untuk kita melakukan rombakan yang sangat kritikal ini demi melahirkan generasi masa depan mengikut acuan kita dan bercirikan Malaysia. Semoga
cadangan ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah
Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast