WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan peningkatan kes positif wabak Covid-19 sebanyak 763,836 kes manakala kematian pula mencecah 40,055 mangsa.

Menurut laporan Universiti John Hopkins, sebahagian daripada jumlah kematian itu sebenarnya datang dari New York walaupun sebelum ini Gabenornya, Andrew Cuomo memberitahu media bahawa statistik di negeri itu semakin menurun.

Sebelum ini, jumlah pesakit COVID-19 di hospital New York berkurangan kepada 16,000 orang berbanding 18,000 sebelum ini.

Angka ini juga dipercayai termasuk mereka yang memerlukan bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal.

Selain itu, ‘hanya’ 507 kematian baharu dilaporkan di negeri itu jika hendak dibandingkan sebelum ini yang ada ketika mencecah lebih 700 kematian dalam sehari.

Agensi pula melaporkan, tindakan Presiden AS, Donald Trump menarik kembali perintah berkurung menyebabkan beberapa Gabenor di negeri tertentu bertikam lidah.

Trump merasakan ujian sudah memadai dengan garis panduan lain seperti ‘social distance’ dan tidak perlu ada keperluan perintah berkurung.

Menurut Andrew Cuamo, New York akan melaksanakan ujian secara lebih agresif pada minggu seterusnya.

Beliau berkata, ketika ini New York akan menyaring 2,000 individu sehari atau 14,000 orang setiap minggu terhadap keseluruhan 19 juta penduduknya.

Cuomo bersama beberapa Gabenor lain memperjuangkan untuk lebih banyak saringan dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan membuka semula negeri mereka.

Sepanyol berada di tangga kedua dengan merekod sebanyak 198,764 kes positif manakala kematian pula sebanyak 20,453 orang setakat ini.

Manakala Itali pula ketika ini berhadapan dengan 178,972 kes positif Covid-19 manakala angka kematian yang direkod mencecah sehingga 23,660 mangsa.

Ketika ini, sebanyak 2,407,339 kes Covid-19 telah direkod seluruh dunia dengan angka kematian sebanyak 165,069 mangsa manakala yang telah pulih pula seramai 617,023 orang. –MalaysiaGazette