Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap pada sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 3 hari ke- 6 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2020

SHAH ALAM – Indeks jenayah di Selangor menurun sehingga 18.13 peratus dari 1 Januari hingga 19 April 2020 berbanding tempoh sama, tahun lepas.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, bagi tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak 4,675 kes berbanding 5,723 kes pada tahun lalu.

“Bermula 1 Januari hingga 9 April 2020 berbanding tahun lepas, kalau dilihat keseluruhan indeks jenayah pada tahun ini, menurun sebanyak 18.31 peratus.

“Bagi jenayah kekerasan menurun sebanyak 22.99 peratus, bersamaan dengan 297 kes.

“Bagi jenayah harta benda pula, menurun sebanyak 16.95 peratus bersamaan dengan 751 kes.

“Begitu juga dengan jenayah jalanan menurun 28.18 peratus, bersamaan dengan 244 kes,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Muhammad Yazid tidak menolak kemungkinan indeks jenayah tahun ini menurun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya sekatan jalan raya dan Snapchat oleh pihak berkuasa.

“Oleh kerana terdapat PKP ini, masyarakat di luar sana kurang bergerak keluar, jadi potensi untuk menjadi mangsa itu berkurangan.

“Sebab itulah kalau kita lihat jenayah menurun. Itu adalah salah satu sebab,” katanya.

Sementara itu, pihaknya menerima sebanyak 2,771 laporan polis terhadap keingkaran pematuhan PKP sejak 18 Mac lalu hingga 19 April 2020.

“Berdasarkan kumulatif laporan polis kes Covid-19, mulai 18 Mac 2020 hingga 19 April 2020, jam 12 tengah malam tadi.

“Sebanyak 1,573 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu pihak Polis Kontinjen Selangor telah membuat tangkapan sebanyak 3,431 tangkapan,” katanya.

Katanya, untuk tempoh semalam sahaja, pihak polis Selangor telah menangkap seramai 214 orang dan daripada jumlah itu, seramai 82 orang adalah warga asing.

“Ini menjadikan jumlah warga asing yang ditangkap sepanjang tempoh Op Covid ini seramai 1,400 orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast