Polis mengalihkan satu mayat yang ditemui di Endfield. foto Agensi

PORTAPIQUE, Nova Scotia – Seorang lelaki bersenjata yang mengamuk selama 12 jam  bertindak membunuh lebih daripada 10 orang termasuk seorang polis wanita.

Tragedi itu adalah kes pembunuhan terburuk dalam tempoh 30 tahun pernah berlaku di Kanada.

Suspek, Gabriel Wortman, 51, menembak mangsa-mangsa di beberapa lokasi di wilayah Atlantik itu.

Setakat ini polis masih dalam proses siasatan untuk menentukan jumlah mangsa yang terkorban.

Wortman juga terbunuh selepas ditembak polis.

“Hari ini adalah hari yang dahsyat bagi Nova Scotia dan insiden ini akan diingati selama-lamanya,'” kata Lee Bergerman, seorang pegawai komando Polis Diraja Kanada (RCMP) kepada wartawan.

Wanita polis yang terbunuh itu adalah pegawai RCMP.

Pembunuhan beramai-ramai itu adalah yang terburuk sejak seorang lelaki bersenjata membunuh 15 wanita di Montreal pada bulan Disember 1989.

Manakala satu lagi kejadian yang berlaku pada April 2018 apabila seorang lelaki yang memandu van sengaja merempuh dan membunuh 10 orang di Toronto.

Serangan senjata agak jarang berlaku di Kanada, yang mempunyai undang-undang kawalan senjata yang lebih ketat daripada Amerika Syarikat.

Polis mengatakanmereka menemui beberapa mayat selepas menerima panggilan daripada penduduk di bandar kecil Portapique di Atlantik, kira-kira 130 km (80 batu) utara Halifax.

Siasatan awal menunjukkan Wortman telah membunuh beberapa  di lokasi-lokasi lain, kata Chris Leather, pegawai operasi jenayah RCMP Nova Scotia.

“Lebih dari 10 orang dibunuh,” katanya.

Leather memberitahu, suspek dilihat memakai seragam polis.

Perdana Menteri Nova Scotia, Stephen McNeil menyifatkan insiden itu sebagai ”satu tindakan keganasan yang paling tidak masuk akal dalam sejarah”

Menurut laman web Denturist Society of Nova Scotia dan Better Business Bureau di wilayah itu, Wortman mengendalikan klinik gigi palsu di Dartmouth, berhampiran dengan Halifax.

Seorang saksi lelaki memaklumkan beliau nampak sekurang-kurangnya tiga kebakaran secara berasingan berlaku manakala seorang penduduk tempatan mengatakan dia menemui dua kenderaan polis yang terbakar ketika keluar memandu pada hari kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast