KUALA LUMPUR – Ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) gelak apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tersasul ketika bersiaran langsung bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui Facebook baru-baru ini.
Namun, PH lupa ramai dalam kalangan pemimpin mereka paling banyak tersasul sama ada ketika berucap di khalayak ramai mahupun menerusi kenyataan media.
Menurut penganalisa politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof, berbeza dengan Dr. Adham yang segera meminta maaf atas ketersasulan itu berbanding pemimpin PH hanya berdiam diri kerana menganggap rakyat akan melupainya.
“Dalam kita bergelak ketawa ke atas ketersasulan pemimpin tertentu, perlu diingat tersasul juga boleh menimpa sesiapa sahaja.
“Malah, berdasarkan rekod, pemimpin paling petah atau bijak di tanah air kita sekalipun biasa tersasul ketika berucap,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau memberi contoh, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ijok pada 24 April 2007 meminta pengundi mengundi calon Barisan Nasional (BN), sedangkan beliau adalah calon PKR.
Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya 10 Ogos 2014, menyebut “PKR memutuskan sejak 50 Januari yang lalu untuk mengadakan peralihan pimpinan di Selangor”, sedangkan Januari ada 31 hari sahaja.
“Mohamad Sabu sewaktu berucap dalam Himpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka pada 29 Ogos 2015, menyebut “saya mewakili rakan-rakan dalam Pas”, sedangkan beliau sudah keluar dari Pas.
“Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika berkempen di PRK Sungai Siput, Perak 3 Mei 2018, meminta pengundi mengundi calon Pas, sedangkan beliau adalah pemimpin PKR,” katanya.
Beliau berkata, paling tidak masuk akal, mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersasul mengarwahkan calon PPBM, Karmaine Sardini ketika berkempen PRK Tanjung Piai, Johor 8 November lalu, sedangkan calon itu masih hidup dan berada di sebelahnya di atas pentas.
Menurut Kamarul Zaman, rekod juga menunjukkan ada antara pemimpin, bukan sahaja sekali dua tidak sengaja, malah tersangat kerap tersasul.
Katanya, tokoh yang memegang rekod paling kerap tersasul ketika berbicara mutakhir ini adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Beliau memperkenalkan Mohamad Sabu (Mat Sabu) sebagai Presiden UMNO, sedangkan bekas Menteri Pertahanan itu adalah Presiden Parti Amanah Negara (PAN).
“Tun Dr. Mahathir juga tersasul menggesa rakyat Terengganu tidak sekali-kali menyokong PH dalam ucapannya pada 30 April 2018, sedangkan beliau ketika itu Pengerusi PH.
“Selain itu, beliau memperkenalkan calon yang bersamanya ketika itu sebagai calon BN, sedangkan individu itu adalah calon PH,” katanya.
Kata beliau, dari semua pemimpin PH yang tersasul itu, tidak ada seorang pun memohon maaf, sebagaimana dilakukan Dr. Adham yang segera membuat kenyataan kepada media mengakui kesilapannya.
“Oleh itu, janganlah keterlaluan dalam menyindir atau mengecam mana-mana pemimpin lain yang sekali dua tersasul ketika berbicara.
“Hari ini pemimpin ini yang tersasul, tetapi di hari lain mungkin pemimpin yang kita sanjungi pula yang akan lebih kerap tersasul,” katanya. – MalaysiaGazette
Biasalah pemimpin pH paling ramai yg nyanyuk apabila dapat kuasa memerintah… Paling meroyan pon pemimpin PH…