Sebanyak 13,277 sampel ujian pengesanan Covid-19 sudah diambil hasil pelaksanaan di enam tempat yang dikenakan PKPD.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 13,277 sampel ujian pengesanan Covid-19 sudah diambil hasil pelaksanaan di enam tempat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 796 dikesan positif jangkitan wabak berkenaan.

“Terdapat lima kes kematian Covid-19 dari kawasan ini iaitu kes ke-1,114, kes ke-2,627, kes ke-1,649 dan kes ke-1,251 dari Bandar Baru Ibrahim Majid dan kawasan di sekitarnya, serta kes ke-1906 dari Menara Plaza City One.

Kawasan yang dikenakan PKPD adalah Bandar Baru Ibrahim Majid, kawasan sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid, Kampung Sungai Lui dan kawasan sekitar Kampung Sungai Lui.

Selain itu, Menara Plaza City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, Masjid India dan kawasan sekitarnya dan terkini, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur serta kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, sebanyak 28 kes positif Covid-19 direkodkan di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.

Katanya, sebanyak 2,064 sampel sudah diambil melalui pengesanan kes aktif di kawasan itu, yang kini sudah dikenakan PKPD sehingga 3 Mei ini.

“Seorang warga Myanmar datang ke Hospital Selayang dan ketika itu sudah kategori empat, dan kemudian diintubasi. Ujian swab dilakukan dan disahkan Covid-19.

“Disebabkan itu, kita perlu fokus di lokasi dan kumpulan sasar. Kumpulan berisiko tinggi yang disasarkan secara asasnya adalah di Pasar Borong Kuala Lumpur dan kita sudah ambil tindakan PKPD di kawasan itu,” Ujarnya. – MalaysiaGazette