Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Masyarakat diminta menggunakan kaedah kesihatan awam sebagai langkah mencegah daripada dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah pencegahan itu termasuklah mengubah cara hidup meskipun arahan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Selagi kita tiada vaksin kita kena guna kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan dan pencegahan itu adalah kelaziman,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, pihaknya sedang melihat strategi bagaimana negara boleh keluar daripada penularan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedua (WHO) menjangka serangan wabak berkenaan akan tetap dihadapi sehingga tahun depan namun, strategi untuk keluar daripada masalah itu tetap dicari.

Ujarnya, selagi tidak ada vaksin yang ditemukan untuk mengubati penyakit itu langkah mempertahankan diri daripada dijangkiti adalah sesuatu yang paling berkesan.

“Kajian telah banyak dijalankan dan kita harap akan jumpa vaksin dalam tempoh yang terdekat.

“Biasanya untuk kajian vaksin akan ambil masa setahun atau setahun setengah. Jadi sebelum kita dapat vaksin kita kena ubah kaedah penjagaan kesihatan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette