SHAH ALAM – Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa ke-3 yang bermula sejak 15 April lalu, namun masih ada segelintir individu yang masih ingkar arahan kerajaan itu.
Terbaru tinjauan MalaysiaGazette ke kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat Kg Baru Hicom mendapati masih ada pemilik kedai makan yang membenarkan pelanggan menjamu selera di premis mereka.
Suasana kedai makan yang berada di dalam kawasan perumahan terbabit seolah-olah tiada pematuhan PKP.
Ini kerana beberapa individu dipercayai penduduk perumahan terbabit duduk di kerusi dan meja sambil menikmati minuman tanpa rasa serba salah.
Walaupun ada beberapa penghantar makanan berulang alik ke kedai makan terbabit, namun tindakan pekedai membenarkan pelanggannya minum di premis jelas bertentangan dengan syarat PKP.
Bukan seorang tapi sekumpulan penduduk dilihat tanpa segan silu memesan minuman di kedai terbabit seperti hari-hari biasa.
Kebanyakan pelanggan yang berada di kedai makan di situ dipercayai dalam lingkungan 40-an dan ke atas. – MalaysiaGazette