Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan pesakit positif Covid-19 yang telah pulih boleh dijangkiti semula.

Ini kerana tidak ada data antibodi yang dihasilkan oleh mereka semasa dijangkiti wabak itu dapat melindungi mereka daripada Covid-19.

“Ada kemungkinan dijangkiti semula, sepatutnya orang sudah pulih, dia ada antibodi tapi dalam kertas penyelidikan tidak ada data yang menunjukkan antibodi itu dapat melindungi seseorang daripada dijangkiti semula,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Noor Hisham menjawab pertanyaan media samada kebarangkalian 3,349 pesakit yang telah sembuh daripada jangkitan Covid-19 boleh dijangkiti semula.

Oleh yang demikian, Noor Hisham berkata, KKM telah memberikan khidmat kaunseling kepada kesemua mereka bagi memastikan mereka tidak dijangkiti semula Covid-19.

“Ada dua kemungkinan mereka dijangkiti semula jadi sebelum discaj memang kita akan beri kaunseling untuk mengelakkan jangkitan semula. Kedua kalau kita ambil ujian, mungkin akan jadi positif tetapi lemah dimana peluruhan virus berlaku walaupun lemah tapi tidak dijangkiti,” katanya lagi.

Untuk rekod, 54 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah  sebanyak 3,349 kes. -MalaysiaGazette