Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.7 bilion dana Pinjaman Mudah PKS daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM6.3 juta telah diluluskan setakat 15 April lalu.

Kelulusan itu melibat 5,000 PKS.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yakin jaminan kerajaan sehingga 80 peratus bagi dana kelolaan Bank Negara Malaysia itu akan mendorong bank-bank memudahkan kelulusan permohonan pinjaman.

Menurutnya, bagi bantuan subsidi upah pula, sebanyak 159,000 permohonan berjumlah RM1.2 bilion melibatkan 1 juta pekerja sudah diluluskan setakat 19 April lalu.

Bayaran subsidi telah bermula minggu lalu kepada permohonan majikan yang diluluskan.

Bagi pinjaman skim kredit-mikro pula, daripada RM700 juta peruntukan yang disediakan kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional, lebih RM45 juta diluluskan untuk 1,500 perniagaan mikro setakat 17 April lalu.

Daripada keseluruhan perniagaan mikro yang telah menerima kemudahan ini, hampir 900 perniagaan adalah di bawah skim BSN dan lebih 600 di bawah TEKUN Nasional.

Untuk Geran Khas PRIHATIN khusus untuk perniagaan mikro, Tengku Zafrul memberitahu, permohonan akan dibuka mulai 1 Mei 2020 dan diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Perniagaan mikro yang layak akan mendapat RM3,000 setiap satu. – MalaysiaGazette