Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Oleh: Prof. Dr. Fauzias Mat Nor

KEPERLUAN kelangsungan hidup melalui aliran tunai tidak boleh dinafikan amat penting terutamanya ketika negara menghadapi krisis ekonomi atau keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pelbagai faktor global semasa.  Semasa ekonomi stabil, peluang untuk mendapatkan tunai berlebihan  lebih senang diperolehi kerana permintaan dan penawaran itu berlaku di dalam pasaran. Namun, apabila terjadinya krisis pasaran seperti sekarang ini kerana wabak Covid-19, kelangsungan hidup perniagaan tertentu diibaratkan seperti hidup segan mati tak mahu atau sudah nyawa-nyawa ikan.

Kelangsungan hidup sektor perniagaan sama ada ia perniagaan besar, sederhana dan kecil ternyata terkesan angkara Covid-19 terutama pada sektor yang kurang mendapat permintaan. Justeru model perniagaan perlu difikirkan semula dengan langkah penstrukturan dan pencatuman perniagaan adalah salah-satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Diakui bahawa kesan Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia khususnya lebih buruk dari krisis kewangan 1998 dan 2008 dan ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan.

Aplikasikan Konsep Mudharabah

Untuk menangani masalah kewangan yang dihadapi semua sektor perniagaan adalah sukar tetapi kerajaan boleh membantu melalui pihak perantara iaitu bank dan agensi bukan bank yang memainkan peranan penting dengan menyalurkan bantuan kewangan berkaitan perniagaan kepada pihak yang terjejas. Pihak yang menerima bantuan ini perlulah dipastikan mereka yang benar-benar memerlukan dan mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman.

Dalam hal ini, konsep mudharabah yang terdapat dalam sistem kewangan Islam mungkin yang terbaik untuk diaplikasikan. Konsep mudharabah memerlukan peneroka, pengusaha atau peniaga yang amanah bagi mengurangkan risiko kepada pemberi modal. Jika  ada kerugian di luar kawalan, pemberi modal perlulah menyusutkan modalnya dan kekurangan  itu perlu ditanggung peniaga jika kerugian disebabkan kecuaian pengusaha itu sendiri. Dengan cara ini dana dari agihan keuntungan yang diberi balik boleh digunakan semula untuk pengusaha lain yang memerlukan.

Belanjawan berlandaskan Maqasid Syariah

Situasi semasa memerlukan belanjawan yang telah dirancang pada tahun ini perlu disemak semula dengan mendahulukan belanjawan yang mendesak. Projek mewah mungkin perlu di tangguhkan dahulu dengan inisiatif pinjaman lembut (soft loan) boleh difikirkan semula. Dalam mengenalpasti keutamaan perbelanjaan dalam penstrukturan semula belanjawan dan pelaksanaan projek-projek kerajaan, konsep Maqasid Syariah boleh dijadikan asas dalam perancangan semula ekonomi negara.

Maqasid Syariah bertujuan menjaga maslahat atau kepentingan masyarakat secara menyeluruh dengan Imam Al Ghazali membahagikan maslahat kepada tiga keutamaan iaitu darruriyat (bagi memenuhi kelangsungan hidup), hajiyyat (untuk memberi kemudahan) dan tahsiniyyah  (untuk kehidupan lebih sempurna).

Beliau turut mengariskan prinsip utama Maqasid Syariah kepada lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Justeru, dalam situasi pandemik hari ini, perbelanjaan negara perlu melihat konsep Maqasid Syariah bagi memastikan kelangsungan asas semua peringkat masyarakat terjaga di samping menjaga kestabilan ekonomi negara.

Implementasi Perbankan Islam

Dalam sektor perbankan, Bank Negara Malaysia telah menggariskan Pengantaran Berlandaskan  Nilai atau Value Based Intermediation (VBI) untuk sistem parbankan Islam yang mungkin perlu dipanjangkan kepada institusi bukan bank. Berdasarkan tatacara perlaksanaan VBI yang sedia ada, negara boleh menjadikan ianya rujukan terbaik bagi memastikan sektor ekonomi semasa pandemik ini berjalan serentak dengan konsep maslahat untuk semua.

Memang kita mengharapkan  dan berdoa pandemik ini tidak berpanjangan untuk tempoh yang lama dan Perintah Kawalan Pergerakan ditarik balik secara berperingkat mengikut keseriusan kes COVID-19 di kawasan tertentu supaya ekonomi boleh dipulihkan secepat mungkin. Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui hikmah disebalik ujian wabak ini.

Oleh: Profesor  Dr. Fauzias Mat Nor, Profesor Kewangan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)