KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 0.2 peratus pada Mac 2020 kepada 120.9 berbanding 121.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 337 daripada 552 barangan yang dalam IHP menunjukkan peningkatan pada Mac 2020 berbanding Mac 2019.

Sebaliknya, 163 barangan mencatatkan penurunan manakala 52 barangan tidak berubah.

Berdasarkan prestasi 552 barangan mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan
Lama (296 barangan) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 195 barangan, 84 menurun dan 17 tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan Lama.

Penurunan indeks kumpulan pengangkutan (-8.9%) yang menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan wajaran telah diimbangi dengan peningkatan indeks kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.6%) dan makanan & minuman bukan alkohol (1.2%).

Purata harga RON95 yang lebih rendah pada Mac 2020 iaitu RM1.74 per liter berbanding RM2.08 pada Mac 2019 turut menyumbang kepada perubahan negatif indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan penurunan harga kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.51
manakala diesel menurun kepada RM1.89 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, kumpulan utama makanan & minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi Mac 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 134.1 berbanding 132.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks IHP.

Pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.6 peratus diikuti perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.6%), komunikasi (1.5%), kesihatan (1.4%) dan pendidikan (1.3%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP turut menurun 1.2 peratus berbanding Februari 2020 disumbangkan oleh pengangkutan (-8.7%) dan restoran & hotel (-0.2%).

Sementara itu, IHP bagi suku tahun pertama 2020 meningkat 0.9 peratus kepada 121.9 berbanding 120.8 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mancatatkan penurunan 0.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2019.
Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.1 hingga -0.9 peratus pada Mac 2020 berbanding Mac 2019.
Namun begitu, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
masing-masing meningkat 0.3 peratus, 0.2 peratus dan 0.1 peratus berbanding bulan
yang sama tahun sebelumnya.

Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%), Johor (1.8%) dan Terengganu (1.6%) dan ia melebihi paras nasional 1.2 peratus bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol pada Mac 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast