Orang awam terutamanya pelajar universiti serta kolej dilihat membeli tiket bas untuk pulang ke destinasi masing-masing pada hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah kerajaan untuk membenarkan mahasiswa yang berada di institusi-institusi pengajian tinggi di serata negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli mencadangkan urusan pengangkutan harus dibuat secara berperingkat dan terperinci termasuklah mengambil kira segala prosedur standard yang ketat berpandukan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara.

Ini penting bagi mengelakkan sebarang kluster baharu daripada muncul berpuncakan usaha ini.

”PKPIM menyeru para mahasiswa untuk terus bertenang dan patuh dengan segala panduan yang dikeluarkan KKM dari masa ke masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, kerajaan memaklumkan sedang meneliti kaedah terbaik untuk membenarkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang berada di kampus untuk pulang ke kampung masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perlu ada prosedur standard operasi yang ketat bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dielakkan.

Ia termasuk mengadakan saringan kesihatan terlebih dahulu selain mengatur perjalanan supaya tidak berlaku pergerakan beramai-ramai secara serentak.

Ketika ini, kira-kira 100,000 pelajar IPTA/IPTS terkandas di kampus di seluruh negara susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette

Pelajar IPT mungkin dibenar balik kampung- Ismail Sabri