Orang ramai mematuhi SOP dengan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di KLIA.

KUALA LUMPUR- Kesemua penumpang Malaysia Airlines diwajibkan membawa dan memakai penutup hidung dan mulut berkuatkuasa esok.

Pemakaian penutup mulut dan hidung diwajibkan ketika berurusan di kaunter daftar masuk, memasuki pesawat, berada dalam kabin, selepas mendarat dan mengambil bagasi.

“Syarat ini dikenakan kepada semula penumpang (kecuali bayi) ketika terbang bersama Malaysia Airlines sama ada penerbangan domestik, antarabangsa mahu pun sewa khas.

“Ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan semua penumpang dan petugas syarikat terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah syarikat penerbangan nasional itu, para penumpang juga dinasihatkan untuk membawa penutup hidung dan mulut tambahan serta cecair pembasmi kuman sendiri bagi keselesaan sepanjang penerbangan jauh.

Para penumpang juga diingatkan untuk menghormati ruang peribadi orang lain serta mematuhi jarak sosial yang telah ditetapkan selain mematuhi langkah-langkah keselamatan sebelum penerbangan dan proses ketibaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat.- MalaysiaGazette