Ah Teong menunjukkan kotak berisi barang-barang makanan sumbangan JKM yang dipulangkan 18 penerima untuk diberi kepada keluarga susah di pejabatnya di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Sanggup tolak sumbangan untuk diberi kepada golongan lebih memerlukan.

Tindakan seramai 18 orang penerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lancang di sini dipuji apabila menyerahkan kembali sumbangan tersebut untuk diberi kepada pihak lain.

Sumbangan tersebut adalah barang-barang keperluan harian seperti minyak masak, makanan tin, tepung dan beras.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong, kesemua penerima itu datang ke pejabatnya semalam untuk menerima sumbangan tersebut sebelum menyerahkan kembali dan meminta ia diberi kepada pihak lain.

“Walaupun mereka ini merupakan kumpulan penerima bantuan kebajikan daripada JKM yang dikategorikan miskin tetapi kemuliaan hati mereka untuk membantu pihak lain yang lebih memerlukan menyentuh hati saya.

“Inilah semangat yang kita mahu apabila semua golongan saling bantu membantu dalam situasi sukar ketika ini,” ujarnya hari ini.

Jelas Ah Teong, sumbangan tersebut akan diberi kepada keluarga miskin yang terjejas berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Dalam pada itu, sifat ingin menolong turut ditunjukkan empat orang pegawai wakil rakyat itu bersama seorang ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) apabila menyumbang wang membantu masyarakat.

Lima pegawai ADUN Batu Lancang dan Ahli MPKK bersama barang-barang keperluan harian yang mereka sumbangkan untuk diagih kepada keluarga miskin di Geroge Town, Pulau Pinang semalam.

Mereka ialah Wong Oi Kharm; Choong You Ray; Teng Wei Loon; Lee Kai Sheng dan ahli MPKK iaitu Lim Kean Wah.

Mereka menyumbang sebanyak 150 kotak barang-barang keperluan harian yang kesemuanya bernilai RM4,350.

“Saya memuji sifat pemurah mereka apabila mengutamakan kebajikan penduduk.

“Mereka bukan sekadar menyumbang tenaga demi khidmat kepada penduduk dalam DUN Batu Lancang semasa PKP, tetapi juga bersedia membantu golongan susah,” jelas Ah Teong.- MalaysiaGazette