Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Keputusan untuk melanjutkan atau menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 di negara ini perlu disokong fakta dan bukti sains yang kukuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bersama kerajaan masih sedang mengkaji dan meneliti trend jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Katanya, ia akan membantu KKM untuk mendapatkan hasil yang kukuh daripada segi sains sebelum dapat menentukan perlu atau tidak PKP diteruskan atau ditamatkan kali ini.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan Perdan Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pagi ini pentingnya memanfaatkan sebaik mungkin enam kriteria yang penting.

“Kita lagipun masih memantau situasi Covid-19 secara dekat termasuklah kawalan sempadan pintu masuk negara dan PKP.

“Menamatkan PKP tidak bererti kita kena hentikan kawalan di sempadan…ia tak bermaksud begitu sebaliknya sempadan negara perlu diperketatkan lagi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 180 negara kini dijangkiti virus Covid-19 diikuti jumlah kes positif dan kematian semakin meningkat dan wujud keperluan penting dan serius untuk kerajaan terus memperketatkan sempadan negara.

“Berdasarkan kes harian yang dilaporkan di negara ini, trend jangkitan dan sebagainya, kita sejak beberapa hari secara berterusan merekodkan kes positif dua digit.

“Hari ini, 71 kes positif dan 19 kes import bermaksud 52 kes jangkitan tempatan dan 22 orang melibatkan pekerja asing India, Bangladesh dan Pakistan (Selangor Mansion).

“Maka jika kita mahu melonggarkan MCO (PKP) kita juga perlu mengambil kira jangkitan lokal. Kita perlu menggabungkan keenam-enam indikasi (kriteria) itu sebelum menasihati PM untuk membuat keputusan sama ada nak sambung MCO atau sebagainya dan ini akan dibincang dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Ujarnya, setakat ini perbincangan dengan PM pada pagi tadi hanya bersifat prinsip.

“Tetapi kita perlu fakta yang ada di sebaliknya sebelum kita mengemukakan bukti kukuh untuk membolehkan PM dan Majlis Keselamatan Negara menentukan sama ada kita perlu lanjutkan PKP atau tidak,” tegas Noor Hisham lagi.

Perdana Menteri malam ini telah mengumumkan PKP fasa ketiga yang tamat 29 April dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 12 Mei ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast