KUALA LUMPUR- Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan perubahan waktu operasi petang perkhidmatan rel di bawah kendaliannya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Dalam kenyataannya hari ini, syarikat itu berkata, sistem rel Rapid KL waktu petang akan beroperasi sejam lebih awal dari biasa iaitu mulai jam 4 petang sehingga 10 malam sahaja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Frekuensi kekerapan pula adalah setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak.
Waktu operasi pagi sistem rel Rapid KL tidak berubah iaitu jam 6 pagi hingga 10 pagi sahaja dengan kekerapan setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak.
Perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus akan juga mengikut jadual perkhidmatan yang sama.
Perubahan waktu operasi petang ini adalah untuk memudahkan perjalanan pulang penggunanya yang beragama Islam bagi berbuka puasa.
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan rel Rapid KL, layari akaun media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.- MalaysiaGazette