Suasana di pasar raya NSK Selayang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 21 APRIL 2020

KUALA LUMPUR- Pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin) dilihat mampu mengurangi impak penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM50 bilion.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) turut menyemak semula jangkaan kadar penganggguran yang lebih rendah berbanding unjuran yang diumumkan institut itu pada 24 Mac yang lalu.

“Dengan mengambil kira pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia, jumlah kehilangan pekerjaan di bawah senario kes terburuk adalah 1.46 juta manakala di bawah senario kes terbaik adalah seramai 28,590 orang.

“Pekerja yang terjejas kebanyakannya adalah pekerja yang tidak mempunyai gaji bulanan (tidak mempunyai pekerjaan tetap) dan 67 peratus pekerja tidak mahir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 24 Mac lalu MEIR menjangkakan jumlah kehilangan pekerjaan adalah sebanyak 2.4 juta yang mana 67 peratus daripadanya adalah tenaga tidak mahir.

Keadaan ini boleh berlaku jika kerajaan tidak mengumumkan pakej Prihatin pada 27 Mac lalu sehingga menyebabkan KDNK menguncup kepada 6.9 peratus berbanding garis asas 2020.

Badan pemikir itu menjangkakan dalam keadaan terbaik, KDNK Malaysia pada tahun ini dilihat boleh tumbuh sekitar 3.8 peratus relatif kepada 2019 atau  -0.29 peratus daripada garis asas 2020.

Jangkaan tersebut adalah sejajar dengan unjuran Bank Negara dan Bank Dunia untuk Malaysia pada tahun ini.

Bagi senario terburuk, MIER meramalkan KDNK Malaysia akan menguncup satu peratus relatif kepada 2019 dan -4.9 peratus berbanding garis asas 2020.

“Bagi kedua-dua senario, pakej Prihatin dilihat boleh menampung penurunan KDNK sehingga RM50 bilion atau 3.6 peratus daripada unjuran kes terbaik KDNK 2020,” tambahnya.

Bagi 2021, KDNK dijangka berkembang di antara 4.3 peratus hingga 5.2 peratus.-MalaysiaGazette