Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Barisan hadapan Covid-19 diharuskan berbuka puasa sekiranya tidak mampu untuk meneruskan ibadah itu sepanjang hari akibat kepenatan dan sekiranya diteruskan dikhuatiri tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugasan merawat pesakit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, meskipun puasa di bulan Ramadan adalah wajib namun sekiranya tidak mampu ia boleh digantikan pada hari lain.

“Sepanjang Ramadan mungkin ada yang kepenatan bekerja terutama frontliners yang kita kasihi, puasa tetap wajib mengikut kemampuan tapi diharuskan berbuka puasa apabila tak mampu melaksanakan puasa sepanjang hari tersebut atau dikhuatiri sekiranya meneruskan ibadat puasa akan menjejaskan fokus dan kemampuannya untuk merawat pesakit, qada’ (gantilah) hari kemudian kalau berbuka,” katanya ketika sidang media hari ini.

Kata Dr. Zulkifli, Ramadan kali ini adalah kebiasaan kehidupan baharu (new norma) buat semua umat Islam dengan melaksanakan pelbagai ibadat yang berbeza dari kelaziman.

Namun ibadat masih tetap boleh dilakukan bersama-sama keluarga dan orang tersayang termasuklah menunaikan solat sunat Terawih yang sebelum ini dilakukan berjemaah di masjid, katanya.

“Saya yakin dengan Ramadan New Normal ini kita boleh sama -sama laksanakannya jangan lupa doakan untuk Malaysia semoga wabak Covid-19 ‘berarak berlalu pergi dari kamus kehidupan kita’.

“Bacalah al-Quran di rumah bersama-sama. Kita ajak adik, kakak, abang, mungkin boleh buat tadarus al-Quran, bukan sahaja itu, emak dan ayah boleh dengar dan betulkan bacaan anak-anak sambil itu bolehlah nbuat pertandingan hafazan al-Quran, bukanlah 30 juzuk tetapi surah pendek-pendek dan perdengarkanlah pada  datuk dan nenek di kampung melalui Skype, sekarang ini moden sangat, bincang pun melalui persidangan video jadi mudah sangat.

“Waktu malam boleh kita isi dengan pelbagai ibadah, kalau sebelum ini Pak De rajin datang solat di masjid, inilah masanya Mak De dan anak-anak solat berimamkan kepada Pak De, hilang rindu bertarawih di masjid, Ramadan ini Ramadan kita dan kitalah yang mencorakkannya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak berkumpul beramai-ramai untuk membeli juadah berbuka kerana seperti yang ditegaskan sebelum ini tidak akan ada bazar Ramadan pada tahun ini.

“Buat masa ini, tidak ada lagi jus tebu Kak Mah di bazaar Ramadan Jitra, Martabak Pak Ali di Kampung Baru KL, tidak ada bazar Ramadan di seluruh negara, saya ulang tidak ada bazar Ramadan pada tahun ini pun begitu alhamdulillah perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing bagi makanan segera masih dibenarkan seperti biasa.

“Jangan pula berkumpul untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak ada gerai yang akan beroperasi,” tambahnya.

Tanpa bazar Ramadan, ibadah sedekah tambah beliau masih boleh dilakukan dengan menempah makanan menerusi perkhidmatan penghantaran e-hailing.

“Encik Ali boleh tempah nasi arab, sedekahkan kepada Ah Chong, Aunty Tan boleh tempah KFC sedekahkan kepada Puan Wani, Ramadan adalah bulan sedekah dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja sekeliling kita cuma ingatan saya kepada rakyat Malaysia, jangan kita membazir, makan dan minumlah seadanya,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast