Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengesyorkan supaya kerajaan mengenakan sekatan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada mereka yang didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan harus mempertimbangkan solusi yang lebih efektif untuk mengekang peningkatan pesalah PKP di fasa ketiga ini.

Katanya, sehingga kelmarin, jumlah kumulatif pesalah PKP adalah seramai 17,735 orang manakala, 1,236 telah dituduh di mahkamah dan disebabkan itu ia perlu dipandang serius.

“Untuk mengelakkan pertambahan kluster terus meningkat, Gerakan mengesyorkan tempoh PKP dilanjutkan di beberapa zon merah sekiranya terdapat pertambahan kes Covid-19 yang aktif sehingga 28 April ini.

“Manakala mereka yang dibenarkan pulang ke bandar harus mengamalkan langkah pencegahan dan kebersihan diri yang kerap untuk mengelakkan risiko dijangkiti wabak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berkata, pertambahan kluster aktif di beberapa zon dan daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak dan Pahang menyebabkan kawalan dan pantauan harus dipertingkatkan.

Ini termasuklah 15 kes kluster Pengerang yang baru-baru ini berlaku, katanya.

“Oleh itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia sangat berharap kerajaan mempertimbangkan tindakan yang lebih tegas dan ketat terhadap mereka yang mengingkari PKP,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast