Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Ibubapa dinasihatkan agar menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji untuk bayi mereka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh anggota kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka perlu mengelak daripada keciciran mendapatkan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung.

Katanya, dalam keadaan negara berusaha sedaya upaya untuk menyekat penularan wabak Covid-19 dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyedari risiko gangguan dalam program imunisasi dan penurunan jumlah kedatangan bayi dan kanak-kanak ke klinik kesihatan untuk tujuan imunisasi.

“Ini adalah disebabkan keperluan mematuhi amalan penjarakan sosial serta kebimbangan masyarakat kepada jangkitan virus Covid-19.

“Apa yang paling dirisaukan adalah kelewatan penerimaan imunisasi boleh meningkatkan risiko berlakunya peningkatan pendedahan bayi dan kanak kanak kepada penyakit cegahan vaksin seperti campak, polio dan lain-lain.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham menegaskan, bagi ibubapa yang telah pulang ke kampung mereka hendaklah membuat temujanji untuk imunisasi bayi dan anak di mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan.

Ujarnya, dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi saranan KKM, imunisasi kanak-kanak perlu
diteruskan untuk mengekalkan imuniti kelompok yang tinggi.

Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia telah mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti measles (campak) dan polio.

Katanya, Malaysia turut dikejutkan dengan kemunculan kes polio yang pertama pada Disember 2019 setelah 27 tahun negara ini bebas daripada penyakit tersebut.

“Sehingga kini, terdapat empat kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua kes polio compatible yang menepati
ciri klinikal penyakit polio di mana kesemua kes ini berlaku di negeri Sabah.

“Bagi kes measles pula, terdapat penurunan kes measles dengan 1,077 kes pada tahun 2019 berbanding 1,958 kes pada tahun 2018 di seluruh Malaysia.

“Namun, kes kematian meningkat dengan 15 kematian pada 2019, berbanding enam enam kematian pada 2018,” ujarnya.

Kataya lagi, sebanyak 915 kes Pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 20 kematian pada 2019, meningkat daripada 892 kes dengan 22 kematian pada 2018.

Manakala tambah beliau, sebanyak 16 kes difteria telah dicatatkan dengan enam kematian pada tahun 2019 berbanding 18 kes dengan enam kematian pada 2018.

Katanya, majoriti kes-kes itu tidak menerima suntikan vaksin namun, terdapat juga kes berlaku di kalangan bayi yang belum layak iaitu belum sampai umur untuk menerima suntikan vaksin. – MalaysiaGazette