Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Pihak-pihak yang terlibat dalam perniagaan makanan secara dalam talian diingatkan supaya mengamalkan kebersihan diri serta mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak terlibat termasuklah pengusaha, pengendali dan penghantar makanan.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan makanan yang disediakan kepada pengguna adalah selamat.

“Pada tahun 2019 terdapat sebanyak 516 kejadian keracunan makanan yang melibatkan 16,583 kes berpunca dari pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 34 kejadian keracunan makanan telah berlaku pada bulan Ramadan 2019 yang melibatkan 1,032 kes.

“Sehubungan itu, orang ramai hendaklah sentiasa memastikan keselamatan makanan semasa membeli atau menyediakan makanan untuk diri sendiri dan ahli keluarga,” katanya pada media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan di rumah.

Ujarnya, mereka perlu sentiasa mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa semasa bulan Ramadan sebelum menikmati juadah berbuka dan bersahur bagi memastikan makanan tersebut selamat di makan.

Katanya lagi, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari masa ke semasa. – MalaysiaGazette