KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menyertai beberapa pemimpin dunia dalam menggesa kolaborasi global untuk menyegerakan usaha dalam penghasilan vaksin untuk Covid-19 yang telah menjejaskan dunia dengan teruk.
Bercakap pada pelancaran pemecut Akses kepada Peralatan (ACT) Covid-19 dihoskan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi tele-sidang yang disiarkan secara langsung, beliau menawarkan sokongan penuh Malaysia terhadap kerjasama global penting itu.
Beliau berkata dunia perlu saling bekerjasama untuk menyegerakan pembangunan dan pengeluaran peralatan dan vaksin serta memastikan akses samarata di peringkat global terhadap teknologi kesihatan penting yang baharu bagi Covid-19.
“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat dengan masa ini dan turut serta dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan. Dan saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia untuk menyokong usaha penting ini bagi memenangi perang terhadap Covid-19,” katanya dalam ucapannya.
Menyatakan beliau berbesar hati untuk menyertai seruan penting global itu, perdana menteri menegaskan Covid-19 “telah memberikan kesan terhadap kehidupan kita dan ekonomi global dalam cara yang belum pernah dialami dalam sejarah kehidupan”.
“Satu-satunya cara kita boleh memusnahkan musuh bersama yang tidak kelihatan ini adalah menerusi solidariti dan kerjasama,” katanya.- BERNAMA