Gambar hiasan. foto IQBAL BASRI, 01 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kawalan sekatan jalan raya (SJR) di daerah Klang akan dipertingkatkan sebagai langkah memastikan tiada individu pulang ke kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Ramadan.

Menerusi Facebook, Polis Daerah Klang Selatan memaklumkan, hanya mereka yang sudah membuat permohonan rentas sempadan bagi tujuan kebajikan dan kecemasan sahaja yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, semua sekatan jalan raya semasa PKP fasa ketiga yang masih dikuatkuasa sehingga 28 April ini akan dipertingkatkan di semua laluan keluar Bandar Klang bagi mengehadkan pergerakan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai urusan penting.

“Setakat ini pihak polis tidak membenarkan sebarang pergerakan dilakukan orang ramai bermula hari ini untuk menyambut Ramadan di kampung masing-masing.” demikian menurut satu kenyataan di laman sosial berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khasnya malam tadi mengumumkan lanjutan PKP untuk tempoh dua minggu lagi mulai 29 April hingga 12 Mei.

Bagaimanapun katanya, kerajaan berkemungkinan melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat kepada beberapa sektor. – MalaysiaGazette