SAO PAULO – Datuk Bandar Sao Paulo mendedahkan rancangan kecemasan untuk menggali beribu-ribu kubur di bandar raya itu dalam usaha menyiapkan diri dengan jangkaan peningkatan kematian berikutan penularan wabak koronavirus.

“Kami tidak boleh menghadapi situasi yang sama dengan mereka di Guayaquil, Ecuador atau di New York, Amerika Syarikat,” kata Datuk Bandar Sao Paulo, Bruno Covas yang merujuk kepada keadaan sesak di rumah mayat hospital di bandar tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menyasar menggali 13,000 kubur dan membesarkan kapasiti perkhidmatan pengkebumian untuk mengelak sistem itu runtuh.

Sao Paulo, pusat penularan wabak Covid-19 di Brazil, mencatatkan hampir 1,000 kematian dalam tempoh sebulan.

“Penggunaan kapasiti hospital ialah 70 peratus dan ini meenyebabkan kami perlu melakukan persediaaan untuk tempoh terburuk wabak ini di bandar kami,” kata Covas pada sidang media harian mengenai wabak itu.

Bandar raya tersebut juga telah mengambil lebih ramai pekerja bagi berhadapan jangkaan peningkatan pengkebumian daripada 240 kepada 400 pengkebumian sehari, selain membeli 15,000 beg mayat.