Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menggesa kerajaan memantau syarikat-syarikat penghantaran makanan agar tidak memaksa penghantar makanan membayar kos ujian saringan Covid-19.

Menurut Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abdul Samad, ini kerana pendapatan para penghantar makanan telah terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pesanan berkurangan.

“Maka adalah membebankan untuk meminta penghantar makanan menanggung kesemua atau sebahagian dari kos ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, kerajaan mewajibkan semua penghantar makanan yang berdaftar dengan e-hailing atau secara individu perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ketika PKP berkuat kuasa.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada 17 April lalu.

Selain itu, penghantar makanan di bandar kecil perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Kerajaan atau klinik swasta berdekatan.

“Bagi memastikan penghantar makanan tidak dibebani kos ujian kesihatan itu, REACH menggesa kerajaan memberi subsidi kepada syarikat-syarikat yang tidak mampu seperti syarikat-syarikat kecil.

“Subsidi ini juga amat diperlukan oleh mereka yang bekerja sendiri atau yang tidak terikat kepada sebarang syarikat. Ujian boleh dilakukan secara berkelompok sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

“Penghantaran makanan adalah perkhidmatan penting ketika PKP. Ini kerana mereka adalah talian hayat bagi pengusaha-pengusaha makanan bermasak seperti restoran untuk meneruskan perniagaan ketika PKP,” katanya.

Katanya, penghantar makanan telah mendedahkan diri mereka kepada pelbagai risiko ketika PKP dan sewajarnya diberikan penghargaan serta kemudahan untuk menjalankan tugas mereka.

“Walau bagaimanapun kita tidak seharusnya bertolak ansur dengan keselamatan semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette