Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak 2018.

Walaupun Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) sejak 2018, namun malaria zoonotik yang berpunca dari monyet dan kes malaria import dari negara luar masih dilaporkan di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kejayaan mengekalkan kejayaan sifar jangkitan manusia itu perlu diteruskan untuk tiga tahun berturut-turut bagi melayakkan Malaysia mendapatkan Pensijilan Eliminasi Malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) daripada WHO pada tahun 2021.

“Di samping melaksanakan aktiviti pencegahan jangkitan COVID-19, terdapat tindakan kritikal untuk pencegahan penyakit berjangkit lain termasuk malaria yang perlu diteruskan.

“Sehubungan itu, KKM telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan aktiviti kawalan dan pencegahan malaria tidak terjejas agar kejayaan yang dicapai oleh Malaysia sejak 2018 iaitu sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) akan dapat dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Malaria Kebangsaan 2020 hari ini.

Jelasnya, inovasi pencegahan malaria semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diwujudkan melalui modifikasi tindakan kritikal di lapangan.

Ini bertujuan supaya pencegahan jangkitan malaria dapat dilaksanakan dalam komuniti dan pada masa yang sama bagi memastikan anggota kesihatan sentiasa terlindung daripada jangkitan COVID-19.

Di dalam hal ini, KKM mengutamakan semua kes dan wabak untuk diambil tindakan segera. Modifikasi kaedah kawalan vektor (nyamuk pembawa malaria) juga dilaksanakan dengan mengedarkan kelambu berubat dari rumah ke rumah bagi mengelakkan perhimpunan di dalam komuniti dan mengekalkan penjarakan sosial.

Di samping itu, KKM juga memastikan bekalan peralatan untuk diagnosa dan ubat-ubatan malaria tidak terjejas. Saringan malaria di kalangan kumpulan berisiko juga masih diteruskan, kata Dr. Noor Hisham.

Pada tahun 2019, sebanyak 3,941 kes malaria daripada pelbagai punca telah dilaporkan di mana daripada jumlah tersebut, 3,223 (81.8%) kes adalah malaria zoonotik, 620 (15.7%) kes adalah malaria import dan 98 (2.5%) kes adalah daripada lain-lain punca jangkitan.

Pada tahun yang sama, sebanyak enam kematian dilaporkan di mana kesemuanya melibatkan jangkitan kes malaria zoonotik daripada spesis Plasmodium Knowlesi. – MalaysiaGazette