KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra memandang serius laporan penyelewengan 150 sumbangan makanan asas (bakul makanan) yang diserahkan kepada Ahli Parlimen Rasah.
Laporan yang tular di media sosial itu mendakwa nilai bakul makanan sumbangan Kementerian Kewangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kurang daripada nilai yang dinyatakan itu masing-masing sebanyak RM100 dan RM50.
Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pihaknya berasa tidak senang dengan isu tersebut dan memandang serius kebajikan orang-orang miskin dan kurang berkemampuan dipermainkan.
Katanya, seharusnya isu ini tidak berlaku kerana ia diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (KM) sebelum diserahkan kepada koordinator tempatan untuk diagihkan.
“Walaupun telah dinyatakan oleh DS Ismail Sabri, JKM menerima banyak jenis sumbangan dengan pelbagai jumlah yang berbeza, hal ini kelihatan bercanggah dengan kenyataan Ahli Parlimen Rasah yang menyatakan ia adalah sumbangan seperti yang diperuntukkan kepada Parlimen yang sepatutnya bernilai RM100.
“Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang dan alasan yang dinyatakan menteri kanan itu seperti sekadar ingin menutup kesalahan yang mungkin benar-benar terjadi.
“Rentetan itu, Wira Putra telah membuat laporan polis berkenaan hal tersebut bagi mendapatkan kebenaran memandangkan para penerima yang semuanya dari golongan asnaf dan B40 ini tidak wajar dianiaya dalam keadaan semasa yang juga telah menekan mereka untuk mencari rezeki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memohon polis memandang serius perkara tersebut dan melakuan siasatan sama ada terdapat unsur pecah amanah, penyelewengan dana, salah laku jenayah individu atau kumpulan.
“Wira PUTRA juga menggesa agar kerajaan tidak terus ‘double standard’ (berat sebelah) dengan terbawa-bawa perangai dan sikap kerajaan terdahulu.
“Aduan ahli Parlimen di Pulau Pinang bahawa koordinator pengagih sumbangan dilantik dalam kalangan partisan parti politik pro kerajaan sahaja yang mana mengakibatkan pengagihan tidak dihantar secara menyeluruh.
“Kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat penting bagi memastikan masyarakat tanpa mengira parti, agama dan bangsa yang terhimpit dapat menerima bantuan sewajarnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette