Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 131 individu yang menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara disahkan positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini membuktikan tindakan kerajaan mewajibkan kuarantin di pusat-pusat kuarantin adalah langkah tepat dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Jika kita hanya biarkan mereka melakukan pengasingan sendiri (self-quarantine) atau kuarantin di rumah sahaja, mungkin wabak ini semakin tersebar.

“Tindakan mewajibkan kuarantin kepada individu yang pulang dari luar negara berjaya mengekang kluster import,” katanya semasa sidang media hari ini.

Semalam, seramai 1,794 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

Setakat ini, seramai 19,945 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.

Sejak 17 April, 6,778 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, kerajaan menurut Ismail Sabri, akan terus bertegas dalam mengawal sempadan termasuk di lorong-lorong tikus bagi mengelakkan pencerobohan pendatang tanpa izin.

Ia juga jelasnya merupakan salah satu langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Seramai 84 individu telah ditangkap kerana menceroboh Malaysia melalui lorong tikus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Pemantauan bagi mengawal sempadan termasuk ‘lorong tikus’ terus diperhebatkan dan diperketatkan.

“Agensi keselamatan juga telah mengenal pasti lorong-lorong tikus yang terdapat di semenanjung dan Sabah serta Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette