Anggota tentera melakukan pengawasan dari menara susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Seramai 21,466 orang telah menjalani ujian Covid-19 di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Setakat ini, sebanyak 638 kes didapati positif wabak berkenaan dengan jumlahnya 2.97 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 388 kes iaitu 61 peratus adalah bukan warganegara Malaysia dan baki 250 kes iaitu 39 peratus pula adalah warganegara
Malaysia.

“PKPD yang mempunyai kes-kes baharu pada hari ini adalah Menara City One Plaza (1 kes baharu, menjadikan jumlah kes sebanyak 52 kes), Malayan Mansion (5 kes baharu, menjadikan jumlah kes sebanyak 12 kes) dan Pusat Bandar Utara serta Sekitar
Pasar Borong Kuala Lumpur ( sembilan kes baharu, menjadikan jumlah kes sebanyak 55 kes).

“Bagi aktiviti tertumpu di madrasah atau sekolah tahfiz pula, sehingga 25 April, didapati 6,229 orang pelajar, guru dan kakitangan telah menjalani ujian Covid-19. dan seramai 341 orang didapati positif wabak tersebut iaitu 5.47 peratus,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham memberitahu, sehingga 24 April, didapati seramai 12,672 orang telah menjalani ujian Covid-19 dan seramai 139 orang didapati positif wabak itu.

Daripada jumlah tersebut, negara yang telah dilawati adalah, 99 kes melawat Indonesia, 14 kes (United Kingdom), 13 kes (Singapura), 5 kes (Turk)i, tiga kes melawat Belanda, dua kes melawat Amerika Syarikat, satu kes masing-masing melawat Thailand, Perancis dan Bangladesh, katanya. – MalaysiaGazette