drunk sodomised sodomy driver lorry attendant
ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

PETALING JAYA – Polis menumpaskan satu sindiket judi haram dalam talian yang beroperasi sejak 20 Februari lalu dengan tertangkapnya 12 suspek warga China termasuk dua wanita yang masing-masing diupah sebanyak RM13,000 sebulan.

Bertindak atas maklumat, Unit Risikan dan Operasi Jenayah Komersial Daerah Petaling Jaya bersama pegawai kanan pakar judi D7 Bukit Aman telah menyerbu sebuah unit Kondominium di Seventeen Mall & Residences, Seksyen 17 semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil serbuan pukul 5.30 petang, polis berjaya menahan seramai lapan lelaki warga negara China.

“Hasil soal siasat terhadap kesemua suspek mendapati mereka sebenarnya adalah bekerja sebagai operator judi dalam talian di unit tingkat 20 kondominium itu yang dijadikan pusat panggilan judi haram itu.

“Berpandukan maklumat pengakuan mereka, polis berjaya menyerbu satu lagi unit di tingkat 21 kondominium sama sebelum berjaya menahan dua lelaki dan dua wanita warga China di rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis berjaya menemui banyak peralatan elektronik seperti Laptop, telefon bimbit dan peralatan gajet elektronik lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Nik Ezanee,hasil analisis forensik polis mengesahkan mereka terlibat dalam aktiviti judi haram dalam talian menyasarkan pelanggan kesemuanya dari China.

Menurutnya, kesemua suspek mengoperasikan judi haram menerusi laman web Mark 6 dan 918Kiss untuk permainan wang melibatkan pelanggan mereka dari China.

Jelasnya,Hasil pemeriksaan polis di kedua-dua premis juga berjaya merampas enam buah komputer riba, 56 buah telefon bimbit, empat modem jenama Huawei dan 10 biji kad sim dan pelbagai mata wang asing termasuk ringgit Malaysia berjumlah RM38,620 dipercayai hasil permainan judi haram taruhan pelanggan.

Mereka beroperasi sejak 20 Februari lalu dan dipercayai masuk ke negara ini dari negara jiran menggunakan visa pelancong sebelum terlibat kegiatan terlarang di sisi undang-undang.

“Setiap pekerja yang bekerja sebagai operator dibayar gaji bulanan RM10,000 hingga RM13,000 dan sindiket ini meraih keuntungan sehingga RM50,000 sehari menerusi kegiatan judi ini yang ditumpaskan ini.

“Menariknya, apabila mereka berurusan dengan setiap pelanggan, kanta kamera di hadapan telefon bimbit yang digunakan kesemua 12 suspek berkenaan ditutup dengan pita pelekat supaya wajah mereka tidak dicam oleh mana-mana indivitu atau dihidu dan digodam pihak berkuasa.

“Itulah taktik licik mereka selama ini termasuk menukar kad sim mereka setiap masa sebagai mengaburi mata pihak berkuasa daripada menghidu operasi mereka di kondominium yang disewa oleh pemilik tempatan,” ujarnya.

Malah katanya, polis juga sedang menyiasat lanjut kesemua suspek kerana mengesyaki mempunyai kaitan dengan individu tempatan.

“Polis berjaya mendapatkan reman empat hari untuk kesemua 12 suspek berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 untuk siasatan lanjut polis.

“Kita akan cari dan jejaki suspek tempatan sekiranya siasatan mendedahkan unsur penglibatan pihak tempatan termasuk siasatan siapa yang menyewakan kedua-dua unit itu kepada sindiket untuk beroperasi kegiatan haram sejak Februari lalu,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast