NEW DELHI – India merupakan negara ketiga di dunia yang memperuntukkan  perbelanjaan ketenteraan paling tinggi pada 2019 selepas Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut data Institut Keamanan dan Penyelidikan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

Jumlah perbelanjaan ketenteraan global melebihi US$1.9 trilion meningkat 3.6 peratus berbanding 2018, pertumbuhan perbelanjaan tahunan terbesar sejak sedekad, kata SIPRI pada Isnin.

AS, China, India, Rusia dan Arab Saudi menyumbang 62 peratus perbelanjaan.

China membelanjakan AS$261 bilion, meningkat 5.1 peratus manakala India AS$71.1 bilion iaitu 6.8 peratus, berbanding 2018.

“Ketegangan dengan Pakistan dan China antara pendorong utama peningkatan perbelanjaan ketenteraannya,” kata penyelidik kanan SIPRI Siemon T. Wezeman.

Negara Asia lain yang juga menunjukkan peningkatan perbelanjaan ketenteraan antaranya Jepun sebanyak AS$47.6 bilion dan Korea Selatan bernilai AS$43.9 bilion.

AS menyumbang 38 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan global, meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada US$732 bilion. – Bernama