Rahmat (kanan) bersama isterinya, Norazlina A. Rahman yang lumpuh separuh badan sejak dua bulan lalu.

KUALA LUMPUR – Segan untuk dia bercerita kepada umum namun setelah berbulan-bulan melaluinya bersama-sama isteri dan keluarga yang boleh diibarat bagaikan ‘sudah jatuh di timpa tangga’, anggota kumpulan nasyid Rabanni akhirnya sudi berkongsi masalah hidupnya.

Berkali-kali dipujuk oleh wartawan, akhirnya Ahmad Shafie atau lebih dikenali sebagai Rahmat Rabbani sudi membuka mulut.

Rahmat memberitahu kehidupan mereka sekeluarga agak tenat sekarang ini setelah isterinya, Norazlina A. Rahman, 48, mengalami masalah strok.

Sejak dua bulan lalu, ibu kepada empat anak itu tidak lagi mampu menjalani kehidupan dengan sempurna kerana kesan terjatuh di bilik air pada awal Mac lalu, doktor mengesahkan Norazlina mengalami kelumpuhan separuh anggota badan selain pendarahan di kepala dan kerap berulang-alik ke hospital.

“Ini dugaan buat kami sekeluarga apabila saya juga semakin susah untuk bergerak kerana perlu menjaga isteri di rumah. Saya sendiri sudah tidak ada punca pendapatan apabila Rabbani tidak lagi dipanggil untuk membuat persembahan pentas semenjak awal tahun lalu,” katanya.

Sepanjang 2019 juga, menurutnya, persembahan sangat terhad dan lebih kepada persembahan berbentuk amal sahaja.

“Dalam keadaan tidak ada pekerjaan dan kini isteri pula sakit, memang dugaan ini agak berat untuk kami sekeluarga,” kata Rahmat berkongsi sedih.

Kehidupan keluarga Rahmat sebelum ini banyak bergantung kepada tawaran persembahan pentas bersama Rabbani semenjak lebih 20 tahun lalu.

Hidup sebagai artis ada pasang surutnya, sementelah tiada pendapatan tidak tetap seperti pekerja di sektor awam dan swasta lain. Keadaan diburukkan lagi dengan tragedi pandemik Covid-19 di mana semua orang perlu duduk di rumah dan mematuhi arahan PKP pada pertengahan Mac 2020.

“Pada ketika tiada tawaran persembahan sebelum ini, isteri saya turut membantu ekonomi keluarga dengan berjualan masakan tradisi Terengganu, seperti nasi dagang dan laksam.

“Bagaimanapaun kini keadaan berubah 100 peratus apabila dia sendiri sudah kurang bermaya dan saya sendiri tidak boleh ke mana-mana untuk mencari rezeki buat menampung belanja keluarga,” katanya.

Pendakwah muda, Ustaz Sheikh Mohammad (kiri) melawat dan menyampaikan barangan keperluan asas termasuk lampin pakai buang kepada isteri Rahmat.

Rahmat berharap agar ada pihak-pihak di luar sana yang sudi membantu beliau dan isteri yang memerlukan kos sebanyak RM1,500 sebulan bagi keperluan ubat-ubatan, lampin pakai buang dan keperluan lainnya.

Sempat menziarah ke kediaman Rahmat di Damansara, Kuala Lumpur dalam lawatan pendakwah muda, Ustaz Sheikh Mohammad yang turut menyampaikan barangan keperluan asas termasuk lampin pakai buang yang kini sangat diperlukan oleh Norazlina ketika ini.

Menurut Sheikh Mohammad, Rahmat telah berdekad-dekat menghiburkan hati rakyat Malaysia melalui lagu-lagu bernuansa ketuhanan dan keagamaan.

Banyak nasihat yang baik telah disampaikan oleh beliau bersama kumpulan Rabbani kepada anggota masyarakat.

“Jadi, pada ketika Rahmat dan keluarganya sedang dilanda dugaan yang besar sebegini, kita berharap agar semua pihak dapat tampil membantu. Kita usahakan untuk memberi sumbangan serba sedikit kepada beliau, agar beliau dapat melepasi ujian dan dugaan ini dengan baik dan kembali bangkit.

“Percayalah, setiap sumbangan yang diberikan oleh anda semua akan mendapat ganjaran yang setimpal dikemudian hari kerana Allah SWT telah berjanji bahawa tidak akan jatuh miskin insan-insan yang sering bersedekah,” jelas pengasas Laksa Ustaz ini.

Turut hadir dalam lawatan itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Sementara itu, mereka yang ingin membantu meringankan beban Rahmat dan isteri boleh terus menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Ahmad bin Shafie – 564276050533. – MalaysiaGazette