KUALA LUMPUR – Meskipun harga minyak mentah dalam keadaan tertekan, setakat ini tiada justifikasi ekonomi bahawa penanda aras harga minyak mentah akan didagangkan pada harga negatif.

OCBC Treasury Research dalam nota penyelidikan berrtajuk “Harga minyak negatif tidak mungkin berulang tetapi tetap menurun”, berkata, penurunan harga minyak pada minggu lalu disebabkan oleh pengurusan lemah oleh Dana Minyak AS (USO) dan kemudahan penyimpanan hab Cushing.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memaklumkan ia tidak mungkin berlaku lagi dalam jangka masa pendek disebabkan pasaran semakin jelas apa yang menyebabkan harga West Texas Intermediate (WTI) negatif.

Menurutnya, terdapat dua faktor yang menyumbang kepada kejatuhan harga minyak.

Salah satu daripadanya ialah ketidakmampuan USO untuk bertindak mengurangkan jumlah minyak dari bulan Mei kepada Jun dalam tempoh yang singkat, selain tekanan panjang daripada pembeli fizikal Amerika Syarikat yang menyedari bahawa hab Cushing sedang mengalami masalah kekangan ruang simpanan terlalu lewat.

USO sekarang meluaskan pegangan niaga hadapannya dalam tempoh 12 bulan dan pembeli AS menyedari kekangan penyimpanan di Cushing, justeru ada alasan untuk harga WTI memasuki wilayah negatif lagi.

”Yang jelas ialah kedudukan harga minyak masih lemah dan isu penyimpanan masih belum dapat diselesaikan,” katanya yang mengunjurkan tekanan semasa itu berlarutan sepanjang suku kedua ini.

Minyak mentah Amerika Syarikat merudum sebanyak 14.24% kepada AS$10.96 setong.

Sementara itu, Brent pula susut 4.05% kepada AS$19.18 setong.

Menurut firma penyelidikan ini dengan masalah penyimpanan yang dilaporkan oleh media hingga harga merudum secara dramatik minggu lalu, tidak mungkin pembeli akan berkompromi lagi.

“Secara fizikal, tekanan penjualan yang sama dari minggu lalu tidak akan berlaku lagi bulan depan kerana peniaga sudah mengetahui kejatuhan harga berlaku akibat masalah penyimpanan,” katanya yang menyifatkan pasaran harga minyak mentah masih tidak menentu sehingga permintaan terhadap bahan bakar pulih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast