Foto hiasan

BANGI – Ibu bapa kepada mana-mana pelajar universiti tempatan di negara ini dinasihatkan agar tidak risau dengan kebajikan anak-anak mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa kebajikan semua pelajar-pelajar yang masih berada di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ketika ini sentiasa terpelihara dan dijaga oleh kementerian beliau.

“Jangan risau ibu bapa semua, anak-anak tuan-tuan dan puan-puan yang masih berada di kampus ini InsyaAllah akan berada di bawah jagaan kampus masing-masing. Pihak universiti sentiasa mengambil tahu mengenai keadaan, keselamatan dan kesihatan mereka.

“Kementerian dan IPT serta anggota terlibat juga berusaha sepenuhnya dalam memastikan semua pelajar dapat pulang ke kampung halaman. Mereka (pelajar) ini akan bergerak secara berperingkat,” katanya kepada media selepas melihat sendiri proses saringan dan perjalanan pulang 150 pelajar pelbagai universiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.

Kesemua mereka, kata Noraini, melalui proses saringan yang ketat sebelum dibenarkan menaiki bas masing-masing.

UKM dipertanggungjawabkan sebagai platform bagi menghantar pelajar-pelajar universiti ke wilayah utama.

Dalam pada itu, Noraini meminta agar para pelajar yang belum dihantar pulang agar bersabar dalam menunggu giliran masing-masing.

“Makan dan minum pelajar akan disediakan seperti biasa kepada mereka yang masih berada di kampus,” katanya lagi.

Sejumlah 790 pelajar-pelajar daripada sembilan universiti dan politeknik tempatan berjaya dibawa pulang ke rumah masing-masing semalam.

Untuk rekod, jumlah itu adalah peringkat pertama daripada 53,000 pelajar universiti yang kini terkandas di universiti masing-masing ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. -MalaysiaGazette