Charles Santiago. foto NOOREEZA HASHIM, 14 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menghantar notis kepada Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago untuk hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara memberi keterangan berkaitan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 26 April lalu.

Jelas Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salled, pemimpoin DAP itu dikatakan hadir di Dewan Orang Ramai Jalan Sungai Keramat 9, Taman Klang Utama bersama-sama lebih kurang 200 hingga 300 orang selain ahli kerjanya sedang mengagihkan bantuan kepada orang ramai penduduk taman sekitar berupa barang basah iaitu sayur-sayuran.

Gambar menunjukkan Charles Santiago yang hadir pada satu program yang didakwa melanggar arahan PKP. – Gambar ihsan IPD Klang Utara.

Hasil siasatan polis pihak penganjur hanya mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sehari selepas tarikh Ahli Parlimen Klang itu hadir ke lokasi tersebut selain tidak mematuhi penjarakan sosial.

“Hasil siasatan mendapati pihak penganjur ada mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjalankan aktiviti pada 27 AprilĀ  tetapi aktiviti tersebut telah dijalankan pada 26 April.

“Pihak polis juga mendapati tiada anggota RELA ataupun Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di situ untuk mengawal aktiviti tersebut.

“Keadaan pada masa itu juga mendapati tiada penjarakkan sosial (1 meter) dan kaedah pemberian sumbangan juga tidak disusun dengan teliti,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap perlanggaran PKP semasa aktiviti tersebut dijalankan.

Menurutnya, sehingga kini seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Justeru Nurulhuda berkata, polis menasihatkan kepada mana-mana NGO yang hendak memberi bantuan kepada penduduk supaya mematuhi operasi prosedur standard yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.-MalaysiaGazette