Charles Santiago.

SHAH ALAM – Polis mengesahkan notis ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberikan kepada Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan pembantunya semalam supaya hadir memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, notis itu dikeluarkan susulan Ahli Parlimen terbabit dan pembantunya didapati berada di Dewan Orang Ramai Taman Klang Utama pada Ahad lepas untuk menyampaikan sumbangan barangan basah kepada kira-kira 200 hingga 300 penduduk setempat.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) digunakan untuk mengawal aktiviti penyerahan sumbangan berkenaan dan kaedah pemberian juga tidak disusun dengan teliti serta tiada jarak sosial.

“Pada Ahad lepas kira-kira pukul 10.20 pagi, polis menerima maklumat terdapat orang ramai berkumpul di dewan tersebut dan siasatan mendapati Ahli Parlimen terbabit bersama pembantunya sedang mengagihkan sumbangan barangan basah kepada penduduk sekitar.

“Hasil siasatan lanjut, pihak penganjur sumbangan itu ada mengemukakan surat kebenaran bertarikh 27 April (Isnin) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjalankan aktiviti terbabit namun penyerahannya dilakukan pada 26 April (Ahad),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, enam saksi dipanggil untuk membantu siasatan dan Charles Santiago telah memberikan keterangannya kira-kira pukul 11 pagi ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Bernama