Kementerian Kesihatan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk semua sektor ekonomi yang mahu beroperasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pembukaan setiap sektor ekonomi akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan SOP tersebut.

Menurutnya, selari dengan kedudukan negara yang kini melalui fasa pemulihan jangkitan Covid-19, sektor ekonomi terpilih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Sekarang keutamaan hanya diberikan kepada industri pembinaan dan industri berat terlebih dahulu beroperasi semula tetapi semua sektor termasuk perkhidmatan juga akan mendapat peluang beroperasi selepas ini.

“Kita ada SOP (prosedur operasi standard) untuk semua perkhidmatan sekarang. Cuma, kita hanya buka secara berperingkat.

“Dari segi keutamaan, ia adalah untuk pembinaan dan industri besar, kemudian sektor perkhidmatan,” kata beliau pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Semua kakitangan sektor tersebut masih terikat dengan SOP walaupun kerajaan memberi kelonggaran untuk sektor-sektor perkhidmatan penting beroperasi semasa PKP, katanya.

“SOP berkenaan termasuk pemeriksaan suhu badan, penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri dengan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun.

“KKM berhati-hati dalam melaksanakan SOP ke atas kesemua sektor yang dibenarkan semula kerana mahu elak peningkatan kes mendadak,” ujarnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk SeriĀ  Azmin Ali hari ini mengumumkan kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula esok. – MalaysiaGazette