Nurul Ihlam Huda Redzuan dijemput ayahnya Redzuan Mohammad di IPD Kuala Muda.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 orang pelajar perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Kampus Pandan Indah selamat tiba di kampung halaman masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang pada pagi tadi.

Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar USIM yang menjadi sebahagian daripada 790 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang menyertai penghantaran sulung pelajar IPT pulang ke tiga buah negeri di utara tanah air pada malam tadi.

 Nurul Ilham Huda Redzuan, 19, selamat tiba di rumahnya di Bandar Perdana Seksyen 8, Sungai Petani, Kedah setelah dijemput ayahnya sebaik sahaja bas yang membawa para pelajar ini selamat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kedah pada jam 5.20 pagi.

“Sebelum bertolak dari Kampus USIM Pandan Indah, setiap pelajar melalui saringan terakhir yang ketat oleh petugas kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Keadaan kesihatan kami mesti dalam keadaan baik dan segala dokumen perjalanan yang wajib dibawa ada bersama dan lengkap diisi”

“Kami diberikan taklimat keselamatan terakhir oleh PDRM sebelum dibenarkan menaiki bas dan bertolak pada jam 11.30 malam tadi. Perasaan amat gembira bila lihat ayah telah sedia menunggu di IPD untuk membawa saya pulang.

”Terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang bertungkus lumus menguruskan perjalanan kami pulang dengan selamat dan kami sedar ia buka sesuatu yang mudah. Tak sabar dan rindu untuk menikmati masakan emak iaitu masak lemak rebung sebagai juadah berbuka puasa” ujar penuntut Tahun Pertama Perubatan dan Surgeri ini.

Sharifah Nahidhah dijemput ayahnya, Syed Ibrahim Syed Salim di IPD Kuala Muda untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Penuntut tahun empat perubatan USIM, Sharifah Nahidhah Syed Ibrahim, 22, yang turut menaiki bas yang sama ke IPD Kuala Muda mengucapkan rasa syukur kerana doa beliau dan kawan-kawan untuk dapat pulang ke kampung setelah hampir dua bulan terkandas di universiti dimakbulkan

 “Ibu-bapa pastinya amat gembira kerana saya satu-satunya anak mereka yang tidak dapat pulang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

‘Tapi kini saya sudah ada di depan mata mereka. Terasa sedih juga kenangkan masih ramai kawan sepengajian yang terkandas di Kolej Kediaman dan berharap mereka juga dapat pulang sedikit masa lagi,” ujarnya.

Berkongsi prosedur sebelum menaiki bas, Sharifah Nahidhah berkata para pelajar perlu melengkapkan melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan yang disahkan oleh Pegawai Perubatan, memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon bimbit dan memiliki surat kebenaran pergerakan pulang dari Universiti. Beliau dijemput oleh ayahnya untuk pulang ke rumah yang terletak di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

ohamad Akmal gembira dapat berada disisi ayah dan ibunya, Zainol Man dan Salihah Hashim di rumah mereka di Kampung Ceruk Celu, Pendang.

Perasaan gembira dan bersyukur dapat pulang ke kampung turut dikongsi Mohamad Akmal Arif Zainol, 22, yang selamat tiba di kampung halamannya di Kubor Panjang, Pendang, Kedah.

“Bas bertolak pada jam 11.50 malam dan tiba di perkarangan IPD Pendang, Kedah kira-kira jam 4.30 pagi. Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan pematuhan kepada aspek keselamatan sentiasa diutamakan bermula dari sebelum bertolak, semasa perjalanan dan sebaik tiba di IPD Pendang.

“Contohnya selain pemeriksaan kesihatan dan dokumen perjalanan, setiap beg yang dibawa oleh kami akan disanitasi terlebih dahulu, para pelajar juga disusun dengan penjarakan selamat di dalam bas dan kami perlu sentiasa memakai penutup muka sepanjang perjalanan.

”Sampai di rumah pun keluarga mengingatkan untuk mematuhi prosedur yang telah ditetapkan Kerajaan kepada kami seperti mandi dahulu sebaik tiba di rumah dan sentiasa mengemaskini status kesihatan di dalam MySejahtera. Ini adalah perjalanan pulang ke kampung yang akan saya ingati seumur hidup” kata anak bongsu dari lima adik beradik ini. 

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar USIM dalam satu kenyataan meminta para pelajar yang menunggu giliran untuk pulang bersabar serta akur dengan sebarang keputusan terkini yang dibuat oleh kerajaan berkaitan proses penghantaran pulang ini.

Kumpulan kedua penghantaran pulang pelajar USIM dijangka pada 30 April ini yang melibatkan pergerakan pelajar dari Kampus USIM Nilai ke beberapa buah destinasi yang terletak Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast